KUALA LUMPUR: Selaras dengan kempen bendera putih yang sedang berjalan ketika ini, penyedia perkhidmatan infrastruktur cloud, Exabytes dengan kerjasama EasyParcel, 91app, Pgeon Delivery, Easystore dan Easywork telah berganding bahu melancarkan FoodBank.Digital.

FoodBank.Digital bertujuan untuk membantu keluarga yang memerlukan dengan menyediakan bekalan makanan melalui prosedur digital.

Dalam tempoh empat hari selepas pelancaran, inisiatif ini telah menerima 6,146 permohonan dari seluruh negara.

FoodBank. Digital terbuka kepada semua dengan hanya beberapa syarat kelayakan seperti yang disenaraikan di www.foodbank.digital

"Kami tidak dapat melakukan ini sendiri, sebaliknya kami memerlukan kerjasama masyarakat.

"Setiap sen yang disumbangkan adalah harapan mereka yang memerlukan. Mari kita laksanakan usaha bersama-sama sebagai sebuah negara,” kata Chan Kee Siak, Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes dan Pengasas Bersama FoodBank.Digital.

Setiap kotak FoodBox terdiri daripada keperluan makanan yang berharga sekitar RM60 setiap kotak yang merangkumi sepaket beras 5 kilogra (kg), 1 pek Milo 1kg, satu pek oat Nestum, empat pek mi segera, dan satu pek biskut.

Setiap kotak dapat membantu sebuah keluarga untuk bertahan selama seminggu.

Semua sumbangan yang diterima akan digunakan 100 peratus untuk pembelian bekalan makanan, manakala pembungkusan akan diuruskan oleh Exabytes dan penghantaran pula ditaja oleh Pgeon dan EasyParcel.